Monday 17 July 2017

Tarian Tradisional Sabah


Ini merupakan beberapa jenis tarian tradisional di Sabah. Dengan rakyat yang berbilang kaum, maka Sabah sudah pastinya mempunyai pelbagai jenis tarian tradisional dari etnik-etnik yang ada di negeri ini. Tarian ini biasanya dibuat dalam majlis-majlis keramai seperti pesta kaamatan atau majlis kahwin.


Tarian Sumazau

                                          Image result for sumazau


Tarian Sumazau merupakan salah satu tarian yang sering dipersembahkan ketika perayaan dan juga majlis-majlis tertentu seperti sambutan perayaan Pesta Menuai atau Pesta Kaamatan, majlis perkahwinan, majlis-majlis keramaian yang lain dan sebagainya. Namun ada juga yang mengatakan bahawa tujuan asal tarian ini adalah untuk menyambut kedatangan 'Bambaazon' iaitu semangat padi.

Tarian ini biasanya ditarikan oleh suku kaum Kadazan-Dusun yang terdiri daripada penari lelaki dan juga perempuan dengan memakai pakaian tradisional suku kaum mereka. Tarian ini juga ditarikan sambil diiringi dengan paluan gong yang mana ianya menggunakan 6 buah gong berlainan saiz.

Penari Sumazau lelaki dan perempuan akan menarikan tarian ini dengan mengangkat kedua-dua tangan hingga ke paras bahu dan mengibar-ngibarkan tangan mereka seperti sayap burung yang sedang terbang sambil mengangkat tumit kaki dan menurunkannya semula mengikut irama lagu.

Biasanya Tarian Sumazau yang ditarikan adalah berlainan rentak dan tempo pukulan gongnya antara satu daerah dengan daerah yang lain. Walaubagaimanapun tarian yang ditarikan adalah tetap sama iaitu dengan perlahan dan dengan lemah lembut.

Pada masa ini Tarian Sumazau telah menjadi salah satu tarian yang utama di Sabah dan ramai masyarakat Sabah yang bukan dari suku kaum Kadazan-Dusun dapat menarikan tarian ini ketika majlis-majlis keramaian.


Tarian Magunatip

Tarian Magunatip merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Ia merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Murut di Sabah.

                                         

Tarian Magunatip merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Murut yang tinggal di bahagian pedalaman Sabah seperti di Tenom, Pensiangan dan Keningau. Magunatip adalah perkataan yang diambil daripada kata 'atip' yang membawa maksud jepit.

Penari tarian magunatip ini mestilah mempunyai kemahiran dan ketangkasan untuk menari melintasi beberapa batang buluh bambu yang akan dipukul secara serentak bagi menghasilkan bunyi dan irama untuk tarian tersebut.

Tarian ini biasanya hanya menggunakan buluh sebagai alat untuk menghasilkan muzik serta iramanya dan ianya tidak memerlukan alat muzik iringan yang lain.

Biasanya tarian ini akan ditarikan ketika majlis-majlis tertentu seperti majlis keramaian dan ia sememangnya menjadi salah satu tarikan kepada para pelancong dari dalam dan luar negara

Tarian Adai-Adai

Tarian Adai-Adai juga merupakan salah satu tarian tradisional bagi suku kaum Brunei di Sabah. Ia merupakan tarian yang sering dipersembahankan ketika majlis keramaian.

                                     

Tarian Adai-Adai juga merupakan tarian tradisional suku kaum Brunei di Sabah yang mana tarian ini mengisahkan kehidupan nelayan yang pergi menangkap ikan di laut sambil dinantikan oleh kaum wanita di pantai agar dapat sama-sama membantu mengutip hasil tangkapan.

Tarian ini banyak ditarikan ketika majlis-majsli tertentu seperti majlis keramaian dan juga ketika persembahan kebudayaan. Tarian ini juga ditarikan oleh 4-5 orang pasangan lelaki dan perempuan dan kadang-kala ianya ditarikan tanpa menggunakan iringan muzik. Irama yang dihasilkan adalah dengan membuat ketukan pendayung ke bahagian perahu.

Pakaian yang dipakai ketika menari adalah berwarna warni yang mana ianya menggambarkan pakaian seorang nelayan sambil memegang dayung perahu. 



Tarian Limbai

Tarian Limbai merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Ia merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Bajau di negeri Sabah.

                                     

Tarian Limbai merupakan tarian tradisional suku kaum Bajau di Sabah. Penari tarian ini biasanya akan memakai baju tradisional kaum Bajau yang berwarna warni bersama perhiasan dikepala.

Tarian Limbai banyak ditarikan semasa majlis perkahwinan untuk menyambut ketibaan pengantin lelaki yang datang ke rumah pihak pengantin perempuan. Ketika rombongan pihak pengantin lelaki sampai diperkarangan rumah pihak perempuan mereka akan diminta berhenti sekejap untuk dipersembahkan tarian Limbai sebelum pengantin lelaki naik ke rumah untuk majlis pernikahan.

Selain itu Tarian Limbai juga kini banyak dipersembahkan dimajlis-majlis keramaian yang lain seperti persembahan kebudayaan. Ini dapat memperkenalkan lagi kebudayaan suku kaum Bajau kepada pelancong dalam dan luar negara. 



Tarian Lansaran

Tarian Lansaran merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Tarian Lansaran merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Murut.

                                          


Tarian Lansaran adalah tarian tradisional suku kaum Murut yang ditarikan di satu kawasan lantai khas yang mempunyai ukuran kira-kira 81 kaki persegi dan dibina di tengah-tengah rumah panjang suku kaum Murut.

Kawasan lantai untuk tarian tersebut dibuat dengan menggunakan kayu bulat dan dipasang sehingga beberapa lapisan agar penari yang menari diatas kayu tersebut dapat melantun seperti ada spring.

Biasanya penari-penari tarian lansaran ini akan membuat satu bulatan sambil melonjak-lonjak di atas lantai tersebut. Penari lelaki akan melompat ke atas untuk cuba mencapai 'Kinkilat' yang digantung dibahagian atas sambil bersorak.

Penari lansaran yang terdiri daripada penari lelaki dan perempuan akan memakai pakaian tradisi mereka berwarna hitam dengan hiasan berwarna-warni dengan penari lelaki memakai hiasan kepala yang diperbuat daripada bulu burung.
Di penghujung tarian lansaran penari-penari tersebut akan berbalas pantun agar dapat mengeratkan lagi hubungan di antara mereka semua.

Tarian Igal-Igal

Tarian Igal-Igal merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Ia merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Bajau di Sabah.

                               


Tarian Igal-Igal merupakan tarian tradisi suku kaum Bajau di Sabah. Ia sangat popular di kalangan masyarakat Bajau terutamanya di pantai timur Sabah seperti di daerah Semporna. Perkataan Igal dikatakan diambil daripada perkatan 'Eagle' iaitu helang, oleh itu gerak tarian igal adalah seperti gerakan helang.

Tarian ini biasanya ditarikan ketika majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan atau majlis keramaian yang lain seperti di Pesta Regatta Lepa-Lepa. Ia juga ditarikan sambil diiringi muzik iringan yang dihasilkan melalui alat muzik tradisional seperti kulintangan, gong dan tambul.

Selain itu penari tarian ini juga akan membacakan beberapa pantun yang mana kadang kala ianya dijadikan satu pertandingan antara dua orang penari. Pantun yang dibawa biasanya menceritakan mengenai peribadi penari itu sendiri seperti dari segi rupa paras, cara pemakaian dan lain-lain lagi.

Pada masa kini tarian ini juga banyak dipersembahkan di majlis-majlis kebudayaan agar dapat memperkenalkan lagi tarian ini kepada masyarakat luar.



Tarian Mongigol Sumundai

Tarian Mongigol Sumundai merupakan salah satu tarian tradisional di Sabah. Ia merupakan tarian tradisi bagi suku kaum Rungus di Sabah.


                               


Tarian Mongigol Sumundai merupakan tarian tradisional suku kaum Rungus di Sabah. Ia sangat popular terutamanya di sebelah utara Sabah seperti Kudat. Tarian ini merujuk kepada dua jenis tarian yang mana satu ditarikan oleh kaum lelaki dan satu lagi kaum perempuan.

Tarian yang ditarikan oleh kaum lelaki dipanggil 'Tarian Mongigol' manakala tarian yang ditarikan oleh kaum perempuan dipanggil 'Tarian Sumundai'. Tarian ini dibuat secara serentak sambl kaum lelaki akan berada dihadapan sambil diikuti oleh kaum perempuan yang terdiri dari 4 orang.

Pada kebiasaannya tarian mongigol sumundai ini akan ditarikan sambil diringi muzik dari alat muzik tradisional kaum Rungus seperti gong. Gong ini akan dimainkan oleh pemuzik yang terdiri dari tujuh orang.

Tarian mongigol sumundai selalu dipersembahkan ketika majlis-majlis keramaian dan juga persembahan kebudayaan agar dapat memperkenalkan lagi tarian ini kepada seluruh masyarakat mahupun pelancong.

1 comment:

  1. Gambling problem: How to fix the game at a casino? - drmcd
    But there's 공주 출장샵 no need to 경상북도 출장마사지 go 파주 출장마사지 all the way to 구미 출장안마 the right level of 여수 출장안마 gaming. Even in casinos, where you play with your friends, the house edge is nearly

    ReplyDelete