Monday 17 July 2017

Sabah - Land Below the Wind




Sabah merupakan negeri yang kedua terbesar di Malaysia, terletak di utara pulau Borneo, dan merupakan pulau ketiga terbesar di dunia. Sabah meliputi kawasan seluas 72,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 1,440 kilometer dengan Laut Cina Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Celebes di sebelah selatan. Sabah mendapat gelaran “Negeri Di Bawah bayu” kerana bayu membawa maksud Angin, Sabah bukan sahaja kaya dengan keindahan semulajadi tetapi ia juga kaya dengan warisan budaya penduduknya

Sabah sangat kaya dengan berbagai-bagai jenis tumbuhan. Bunga terbesar di dunia Rafflesia dengan kuntumnya berukuran tiga meter garis pusat ditemui di Sabah. Di negeri ini banyak terdapat spesies anggerik atau orkid, periuk kera dan rhododendron iaitu sejenis bunga yang didapati tumbuh di Sabah. Sabah adalah satu kawasan berbukit bukau. Kawasannya yang bergunung-ganang disilangi dengan sungai-sungai yang mengalir melalui lembah-lembah menerusi dataran tanah yang subur. Banyak gua ditemui di hutan-hutannya. Gunung Kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara tersergam indah dengan ketinggian 4,101 meter. Hutannya yang subur menghijau menjadi tempat lindungan bagi hidupan liar seperti badak sumbu Sumatra, orang utan, gajah, pelanduk, monyet, tupai terbang, rusa dan burung.

Sabah juga dirahmati dengan penduduk berbilang kaum. Masyarakat aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 80 dialek.

Kumpulan etnik yang utama adalah Kadazandusun (merupakan satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah), Murut, Paitan, dan Bajau. Kumpulan penduduk asli yang lain termasuk Bonggi, Iranun, Ida'an dan Brunei. Sebagai tambahan, kaum Cina merupakan kumpulan penduduk bukan asli yang terbesar. Dengan itu, Sabah adalah kaya dengan penduduk berbagai-bagai kaum dengan latarbelakang kebudayaan masing-masing.

Berdasarkan kepada kajian arkeologi, Sabah telah diduduki oleh penghuni sekurang-kurangnya 28,000 tahun yang lalu. Islam sampai di Sabah menjelang akhir abad ke-5 dan ke-16 melalui pedagang Arab dan India dan juga hasil dari pengembangan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei. Orang-orang Eropah datang ke Sabah dua abad kemudiannya. Dalam 1775, Syarikat Hindia-Timur British membuka tempat perdagangan di Pulau Balembangan. Bagaimanapun, Sabah telah ditadbir dengan jayanya oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dari 1881 hingga 1942 apabila tentera Jepun menduduki negeri ini. Selepas kehancuran akibat peperangan, Sabah jadi jajahan British sehingga 31 Ogos 1963 apabila ia mencapai pemerintahan sendiri dari pihak British. Pada 16 September 1963, Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.

No comments:

Post a Comment