Monday, 17 July 2017

Tertua di Sabah

Berikut merupakan beberapa tempat atau bangunan yang tertua di negeri Sabah yang masih bertahan sehingga ke hari ini. Banyak lagi sebenarnya tempat atau bangunan yang lama di negeri Sabah. Tapi yang paparkan dulu adalah yang dianggap terawal dibina.



Sandakan

Bandar Sandakan merupakan salah satu bandar yang terletak di Pantai Timur Sabah. Bandar Sandakan merupakan bandar kedua besar selepas Kota Kinabalu.


                                  
Sumber : Wikimedia

Sandakan adalah bandar terawal dan tertua di Sabah yang mana bandar ini pernah menjadi pusat pentadbiran dan Ibu Negeri Borneo Utara semasa zaman Brisith, namun selepas Perang Dunia Kedua yang bandar Samdakan telah musnah teruk dan sukar dipulihkan. Ini menyebabkan kerajaan British memindahkan pentadbiran ke Kota Kinabalu sekaligus menjadikan Kota Kinabalu sebagai Ibu Negeri Sabah.

Pada awalnya Sandakan hanyalah sebuah kawasan perkampungan yang dibina pada 18 Jun 1879 dan terletak di bahagian teluk muara. Kawasan perkampungan yang baru dibina ini dikenali dengan nama Buli Sim-Sim.

Selepas perkampungan ini siap dibina, ia kemudiannya ditukarkan nama kepada 'Elopura' yang membawa maksud 'Bandar yang Indah'. Nama ini telah diberi oleh perintis pembanbangunan bagi bandar Sandakan yang juga Pengerusi British North Borneo Development Corporation pada masa itu iaitu William B. Pryer.

Sandakan telah diiktiraf sebagai Bandaraya Alam Semulajadi pada 18 Mei 2004, dan menjadi salah sebuah bandar utama di Sabah selepas Kota Kinabalu. Dengan kedudukan Sandakan yang berada di bahagian Teluk Sandakan, ianya menjadikan Sandakan sebuah pelabuhan yang bergitu strategik untuk perkembangan ekonomi Sabah. Jumlah penduduk daerah Sandakan kini hampir kepara 1 juta orang.

Sandakan juga mempunyai beberapa daerah kecil yang berada dibawah Pentadbiran Bahagian Sandakan iaitu seperti :

1. Beluran
2. Telupid
3. Kinabatangan
4. Tongod
5. Paitan

Terdapat banyak tempat menarik di Sandakan yang sememangnya menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Sandakan. Antara tempat menarik di dalam daerah Sandakan adalah seperti :

01. Sepilok
02. Taman Peringatan Sandakan
03. Agnes Keith House
04. Taman Buaya Sandakan
05. Labuk Bay Proboscis Monkey
06. Taman Jalil Alip
07. English Tea House
08. Batu Sapi
09. Taman Pulau Penyu
10. Sandakan Rainforest Park

Banyak lagi tempat-tempat yang menarik di Sandakan akan saya masukkan kemudian 👴👴👴 


UITM Kota Kinabalu

Universiti Teknologi Mara (UITM) Kampus Kota Kinabalu merupakan universiti yang tertua di Sabah dan merupakan salah satu IPTA yang terdapat di Sabah.


                                    
Sumber : Wikimedia

Universiti Teknologi Mara (UITM) Kampus Kota Kinabalu telah ditubuhkan pada bulan Mac 1973 dan merupakan universiti yang tertua di Sabah. UITM Sabah Kampus Kota Kinabalu mula ditubuhkan hasil daripada kerjasama dan sokongan daripada Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah.

Pada awal penubuhan UITM lebih dikenali dengan nama Institut Teknologi Mara (ITM). UITM pada masa itu menggunakan kampus sementara yang terletak di Sembulan dan sesi pertama pengambilan ke UITM diadakan pada bulan Julai 1973. Pada bulan Ogos 1973 pula kampus tetap UITM telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah pada masa itu. dan menjelang bulan Januari 1982 sebilangan pelajar yang berada di kampus sementara mula berpindah ke kampus tetap di Kuala Menggatal.

Misi :
Untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran Bumiputera dalam semua bidang pengajian melalui program-program profesional, penyelidikan dan khidmat masyarakat berdasarkan nilai-nilai moral dan etika profesional.

Alamat :
Universiti Teknologi Mara (UITM) Sabah
Kampus Kota Kinabalu
Beg Berkunci 71,
Poskod 88997 Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia
Tel : +6088-325151
Faks : +6088-513855
Website : http://sabah.uitm.edu.my/v2/



Masjid Jamek Hasabollah At-Tohiri

Masjid Jamek Hasabollah At-Tohiri adalah sebuah masjid yang tertua di Sabah. Masjid ini terletak di daerah Sandakan, Sabah.


                                
Sumber : Wikimedia

Masjid Jamek Hasabollah At-Tohiri juga dikenali sebagai Masjid Jamek. Masjid Jamek telah dibina pada tahun 1890 dan merupakan masjid yang tertua di Sabah. Masjid Jamek Hasabollah At-Tohiri juga merupakan salah satu tapak warisan yang terdapat di Sandakan.

Masjid ini telah di buka pada tahun 1890 oleh seorang saudagar kain berasal dari India yang bernama Damsah. Lokasi asal sebenar masjid ini adalah di tapak restoran Zakaria III yang berhadapan dengan Wisma Sandakan.

Semasa perang dunia ke-2, masjid ini telah menjadi salah satu tempat perlindungan dan persembunyian bagi penduduk tempatan yang berada islam dari pihak Jepun. Oleh kerana tentera Jepun merasakan kemungkinan tentera British bersembunyi di masjid ini maka tentera Jepun telah beberapa kali membuat serangan ke atas masjid ini.


Menara Jam Tertua

Menara Jam Atkinson merupakan antara menara jam yang tertua di Sabah. Menara Jam Atkinson terletak di Kota Kinabalu, Sabah.


                                                     
Sumber : Wikimedia

Menara Jam Atkinson telah mula dibina pada tahun 1902 dan siap sepenuhnya pada 20 April 1905. Menara Jam Atkinson juga dahulunya dikenali sebagai Menara Jam Peringatan Atkinson. Ia dibina dengan menggunakan kayu dengan ketinggian 50 kaki (15 meter).

Menara Jam Atkinson dibina bagi memperingati pegawai daerah Jesselton yang pertama iaitu Francis George Atkinson yang meninggal dunia ketika berumur 28 tahun akibat penyakit malaria. Oleh itu ibunya Puan Mary Edith Atkinson telah memperkenalkan menara jam ini bagi memperingati anaknya.

Selain itu terdapat juga sebuah jalan yang diberi nama Atkinson Drive iaitu bersempena dengan nama Francis George Atkinson. Walaubagaimanapun nama jalan itu telah ditukar kepada nama Jalan Istana.




Sekolah Tertua

Sekolah Menengah St. Mary's merupakan sekolah yang tertua di negeri Sabah. Sekolah ini terletak di daerah Sandakan, Sabah.

                                  
Sumber : Wikimedia

Sekolah Menengah St. Mary's adalah sekolah yang pertama ditubuhkan dan merupakan sekolah yang tertua di negeri Sabah. Sekolah ini telah dibina pada 24 Julai 1883 atas inisiatif Paderi Prenger. Namun sekolah ini telah ditutup sementara pada tahun 1885 kerana paderi Prenger telah diarah meninggalkan Sandakan akibat masalah kesihatan pada masa itu.

Sekolah ini kemudiannya telah dibuka semula pada 15 Ogos 1887 apabila paderi Byron dihantar untuk membuka semula sekolah tersebut. Pada tahun 1888 terdapat 12 orang pelajar yang telah mendaftar dan sebuah bangunan juga telah didirikan.

Untuk mengisi tabung sekolah pada masa itu, pelbagai kempen telah diadakan dan salah satunya adalah paderi Byron telah menerima cabaran untuk berjalan berkaki ayam dari sekolah ke bandar Sandakan yang mana Byron terlah berjaya memperolehi sebanyak $100. Penduduk tempatan pada masa itu juga ramai yang memberikan sumbangan agar dapat membantu sekolah St. Mary's.

Pada tahun 1929 pula, bangunan 3 tingkat telah dibina apabila paderi Fr. Stotter mengambil alih pentadbiran sekolah yang menempatkan bilik darjah, bilik paderi dan asrama untuk pelajar. Majalah sekolah yang pertama telah dikeluarkan oleh paderi Fr. Lawrence Marshall pada tahun 1933.

Namun ketika perang dunia ke-2, pihak tentera Jepun telah banyak menghancurkan bangunan yang mana sekolah St. Mary's merupakan antara yang telah dihancurkan. Selepas perang dunia ke-2 sehingga tahun 1952 sekolah St. Mary's masih tetap dibuka walaupun hanya disebuah pondok. Pada tahun 1952 paderi Fr. Mulders telah dihantar untuk memulihkan semula sekolah ini dan akhirnya dengan derma daripada pelbagai pihak termasuk penduduk tempatan sekolah St. Mary's telah dibangunankan semula dan sebidang tanah juga telah diperolehi di batu 2 1/2 untuk membina bangunan baru bagi sekolah St. Mary's.


Lembah Danum / Danum Valley

Kawasan Hutan di Lembah Danum merupakan hutan yang tertua di negeri Sabah. Hutan ini terletak lebih kurang 80 km dari Bandar Lahad Datu dan merupakan kawasan hutan simpan.


                            




                              
Sumber Gambar : wikipedia


                                   

Lembah Danum merupakan kawasan Hutan Simpan Kelas Pertama yang mana ianya di urus oleh Pengurusan Hutan di bawah kendalian Yayasan Sabah. Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum juga diiktiraf sebagai salah satu ekosistem yang paling kompleks di dunia.

Kawasan ini juga berfungsi sebagai tempat kediaman bagi spesies hidupan liar yang semakin terancam seperti Orang Utan, Gajah dan lain-lain lagi.

Selain itu dikawasan Lembah Danum juga para pengunjung berpeluang melawat beberapa tapak perkuburan purba yang masih lengkap dengan keranda yang dibuat daripada belian.

Dengan lokasinya yang jauh dari bandar Lahad Datu, para pengunjung boleh menggunakan ejen pelancongan untuk datang ke Lembah Danum.


Tamu Kota Belud

Tamu Kota Belud merupakan pasar tamu yang tertua di negeri Sabah. Pasar Tamu ini terletak di daerah Kota Belud Sabah.


                                

Tamu Kota Belud terletak di Pekan Kota Belud Sabah. Tamu ini merupakan tamu tertua di Sabah yang menjual pelbagai jenis jualan seperti kraftangan, sayur-sayuran, makanan tradisional Sabah dan lain-lain lagi yang amat menarik perhatian para pengunjung.


Di tamu ini juga diadakan satu acara tahunan yang dipanggil Tamu Besar dan biasanya diadakan setahun sekali. Ketika sambutan Tamu Besar ini, ramai peniaga dari seluruh Sabah akan berkumpul di sini untuk menjual barangan mereka sama ada berbentuk makanan, hasil tangan (kraftangan), hasil tanaman dan lain-lain lagi.

Selain menjual barangan, di Tamu Besar ini juga diadakan acara lain seperti acara menunggang kuda oleh suku kaum Bajau Kota Belud. Terdapat juga pertandingan lumba kerbau dan pertandingan Ratu Sarempak.

Tamu Pekan Kota Belud di buka seawal jam 6 pagi hingga jam 2 petang dan pengunjung yang ingin ke sini boleh menaiki bas atau teksi dari pusat bandar Kota Kinabalu ke Kota Belud. Kos tambang bas dan teksi adalah :

1. Teksi : RM15.00 seorang / pergi sahaja
2. Bas : RM8.00 seorang / pergi sahaja.

Kadar tambang ini biasanya akan berubah mengikut keadaan semasa.


Arkeologi Tertua

Tapak Arkeologi Tertua di negeri Sabah dianggarkan sekitar 3000 tahun dahulu. Tapak ini terletak di Bukit Tengkorak dalam daerah Semporna Sabah.


                                

Bukit Tengkorak merupakan tapak arkeologi tertua di negeri Sabah. Tapak ini dinggarkan sekitar 3000 tahun dahulu dan merupakan tapak pembuatan tembikar yang terbesar di Asia Tenggara ketika Zaman Neolitik.

Pada tahun 1994 satu kajian telah dijalankan di Bukit Tengkorak oleh beberapa penyelidik dari UMS dan Muzium Sabah dan telah menjumpai beribu kepingan tembikar dari prasejarah dan dianggarkan berusia kira-kira 3000 tahun dahulu.

Tapak ini hanya kira-kira 10 km sahaja dari pekan Semporna dan ia terletak diatas bukit yang berketinggian 600 kaki. Pengunjung yang ingin ke sini sama ada dari Kota Kinabalu, Tawau atau Sandakan bolehlah menaiki bas yang menuju ke Semporna atau boleh juga memandu sendiri.

Tapak arkeologi ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang dan tiada sebarang bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung.

Untuk sebarang maklumat bolehlah menghubungi :

Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak
D/A Muzium Wilayah Pantai Timur,
Tingkat 2, Wisma Warisan,
90000 Sandakan, Sabah
Tel : +6089-222679
Faks : +6089-229593

No comments:

Post a Comment